Perhatian kita didalam perbincangan tentang ini ialah kepada sanggahan golongan Anti-hadis terhadap tafsiran al-Syafi’i tentang maksud hikmah di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud

 

Wahai Tuhan kami, dan utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka,membaca kepada mereka ayat-ayat Engkau dan mengajar mereka al-kitab dan hikmah dan membersihkan mereka.Sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Bijaksana. (surah Al-Baqarah 2:129)


Al-Syafi’i mentafsirkan perkataan hikmah di dalam ayat di atas sebagai sunnah Rasulullah s.a.w. Tafsiran itu dianggap oleh golongan anti hadis longgar dan tidak boleh di terima dalam kaedah saintifik.Menurut mereka, Imam Syafi’i memulakan hujah dengan mengutip perndapat ahli yang beliau persetujui dan terus melompat kepada kepastian bahawa hikmah itu tidak lain ialah sunnah.

Seterusnya, golongan anti hadis mengajukan kepastian mereka bahawa maksud hikmah didalam ayat itu ialah al-quran atau ajaran-ajaran al-quran itu sendiri.Kepastian yang di buat oleh mereka itu disandarkan kepada beberapa ayat al-quran yang mengandungi perkataan hakim dan hikmah.Perkataan hakim dan hikmah didalam ayat-ayat yang di kemukakan , di tafsirkan oleh mereka dengan pengertian al-quran atau ajaran-ajaran al-quran.

Penolakan terhadap tafsiran al-syafi’i itu adalah sebahagian daripada hujah golongan anti hadis, untuk membenarkan hipotesis mereka bahawa sunnah sebagai kuasa palsu yang bertanggungjawab memecah belahkan umat islam dan membawa kemunduran kepada mereka.

Didalam hujahan golongan anti hadis bagi membenarkan hipotesis mereka bahawa sunnah sebagai satu kuasa palsu yang mesti ditolak,mereka banyak bergantung pada penolakan hujahan yang membuktikan sunnah itu sebagai sumber yang menerang dan menjelaskan ajaran al-quran. Namun demikian, tumpuan kita di peringkat ini adalah untuk menghuraikan maksud perkataan hikmah di dalam al-quran dan sama ada ia bermaksud semata-mata al-quran.Seterusnya apakah perkataan itu, sama sekali tidak boleh diertikan sebagai sunnah. Apakah perkataan dan kelakuan Nabi s.a.w. itu tidak boleh diertikan sebagai hikmah Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada Baginda s.a.w.?

Perkataan hakim didalam beberapa ayat al-quran menunjukkan sifat kebijaksanaan itu.Dia lah yang memiliki hikmah dan kebijaksanaan itu.Segalanya apa yang dilakukan ajaran yang disampaikan adalah hikmah-Nya atau mengandungi kebijaksanaan.

 

dan Dialah jua yang Maha Kuasa,lagi Maha Bijaksana. (surah Luqman 31:9)


Suatu perkara yang tidak dapat diperhatikan bahawa kebijaksanaan Allah s.w.t itu adalah mutlak, tidak terbatas dan terhad. Didalam surah Al-Baqarah 2:269, terhadap keterangan bahawa hikmah atau sesuatu yang mengandungi hikmah Tuhan itu di berikan kepada sesiapa yang Allah suka dan sesiapa yang di berikan kepada-Nya hikmah ia mendapat kebaikan yang banyak.

Oleh sebab itu, sebahagian daripada hikmah Tuhan itu di kurniakan kepada Luqman. Surah Luqman 31:12 ada menyebut:

 

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta kami perintahkan  kepadanya); Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatnya kepadamu). Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (surah Luqman 31:12)


Dalam surah lain ada menerangkan pula mengenai Hikmah yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada Isa bin Maryam. Allah s.w.t. berfirman:

 

(Ingatlah) tatkala Allah berfirman: Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian, dan sesudah dewasa: dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil: dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izin-Ku,kemudian engkau tiupkan kepadanya, lalu menjadikan ia seekor burung dengan izin-Ku: dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izin-Ku:dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izin-Ku: dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu. ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan mukjizat,lalu orang-orang yang kafir diantara mereka berkata:Bahwa ini hanyalah sihir yang terang nyata. (surah Al-Maidah 5:110)


Ayat-ayat ini dan seumpamanya yang menunjukkan hikmah Allah s.w.t.itu di kurniakan kepada Nabi-Nabi yang lain daripada Muhammad s.a.w. seperti kepada Nabi-Nabi daripada keluarga Ibrahim, bukanlah bermaksud al-quran.Bahkan ayat didalam surah al-maidah 5:110, memperlihatkan dengan jelas, bahawa hikmah yang dikurniakan kepada Nabi Isa bin Maryam a.s bermaksud lain daripada al-Kitab,Taurat dan Injil. Ia merujuk pada mukjizat-mukjizat Nabi Isa bin Maryam a.s. Jika hikmah didalam ayat ini bermaksud al-quran, sudah tentu tidak munasabah dan tidak wajar, kerana telah di ketahui al-quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan bukan kepada Luqman, Isa bin Maryam  dan keluarga Ibrahim a.s.

Ayat-ayat berikut pula menunjukkan bahawa hikmah itu adalah al-quran atau al-quran itu mengandungi hikmah dan ia kalam Allah yang bersifat bijaksana. Allah s.w.t. berfirman:

 

Yasin. Demi al-quran yang mengandungi hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh (surah Yasin 36:1-2)


Dan dalam ayat lain ada menyatakan:

 

Ha Mim. Demi kitab al-quran yang menyatakan kebenaran.Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai al-quran yang diturunkan dengan bahasa Arab,supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.Dan sesungguhnya al-quran itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami-sangat tinggi (kemuliaannya), lagi banyak mengandungi hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh. (surah al-Zukhruf 43:1-4)


Daripada keterangan ayat tadi amat jelas bahawa Allah s.w.t. bersifat dengan sifat kebijaksanaan secara mutlak dan memiliki hikmah kepada sesiapa yang dikehendakinya.Allah s.w.t. mengurniakan hikmah kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul.Kitab-Kitab yang mereka bawa adalah hikmah Allah s.w.t. Begitu juga mukjizat-mukjizat yang lahir daripada mereka adalah hikmah Allah s.w.t. belaka yang dikurniakan kepada mereka.Seperti kitab-kitab Allah s.w.t. yang lain,al-quran ialah hikmah Allah s.w.t. dan kalamnNya yang mengandungi hikmah serta bersifat hakim.

Jelas bahawa ayat diatas menolak hujah golongan anti hadis bahawa perkataan hikmah semata-mata bermaksud al-quran.Keterangan diatas menunjukkan al-quran itu hanya sebahagian daripada hikmah Allah yang luas dan mutlak. Ia adalah sebahagian daripada hikmahNya yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah kerana, jika hikmah itu dibataskan kepada al-quran, bermakna al-quran juga diturunkan kepada Luqman,kepada Isa bin Maryam, Daud dan lain-lain. Namun hal itu tidak berlaku sama sekali,kerana al-quran hanya diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Ayat-ayat yang berikut mengandungi perkataan hikmah yang menunjukkan hikmah yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w.:

 

(Nikmat berkiblatkan kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu). Samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang  membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan-amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-quran) serta hikmah kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. (surah al-baqarah 2:151)


Dalam ayat lain juga ada menyatakan:

 

Wahai Tuhan kami!Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman)Mu dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-quran) serta Hikmah… (surah Al-Baqarah 2:129)


Dalam ayat lain juga ada menyatakan:

 

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah ia mengutuskan daripada kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan al-quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat) serta mengajar mereka Kitab Allah (al-quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad s.a.w) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (surah Ali-Imran 3:164)


Dalam ayat lain juga ada menyatakan:

 

Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnianya Allah dan rahmatnya kepadamu (wahai muhammad), nescaya berhasillah cita-cita segolongan daripada mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun: dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkan mu apa yang engkau tidak mengetauinya. Dan adalah dikurniakan Allah yang dilimpahkan-Nya kepadamu amatlah besar. (surah An-Nisa 4:113)


Jika hikmah yang dikurniakan kepada Nabi-Nabi terdahulu, yang di sebutkan didalam ayat yang dikemukan sebelum ini bukan bermaksud al-quran,apakah ayat diatas yang menyentuh hikmah yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. merujuk semata-mata  kepada al-quran? Ini persoalan yang menjadi isu utama yang melibatkan pengiktirafan dan penolakan terhadap hadis.

Golongan Anti hadis membuat kepastian bahawa hikmah yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang disebutkan didalam ayat diatas ialah al-quran dan bukan yang lain daripada al-quran.Alasan mereka disandarkan pada ayat seperti surah Al-Baqarah 2:58, surah Yasin 36:1-2. surah al-zukhruf 43:1-4 dan surah al-qamar 54:5 yang menerangkan al-quran itu hakim,mengandungi hikmah atau penuh dengan hikmah dan al-quran itu sendiri adalah hikmah, Berdasarkan ayat-ayat seumpama ini, maka maksud hikmah yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu tidak yang lain melainkan al-quran.

Namun kepastian golongan anti hadis ini tidak kukuh.Ayat-ayat itu hanya menunjukan bahawa al-quran itu hikmah,mengandungi hikmah dan bersifat hakim,tetapi tidak menunjukkan bahawa hanya al-quran lah sahaja hikmah yang diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Lagipun hikmah Allah s.w.t. itu tidak terbatas dan tidak boleh dibataskan hanya kepada hikmah yang terkandung di dalam al-quran.Sesiapa yang membataskan hikmah Allah s.w.t. bermakna ia mengganggap hikmah Allah itu tidak mutlak dan tidak sempurna. Ayat-ayat yang menunjukkan al-quran sebagai hikmah, tidak menetapkan hanya al-quran sebagai hikmah Allah dan tidak menafikan hikmah Allah lebih luas daripada apa yang terkandung didalam al-quran.

Apabila diakui hikmah Allah itu mutlak,tidak ada halangan untuk Allah  mengurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. hikmahnya yang lebih daripada hikmah yang terkandung didalam al-quran.Ini di perkuatkan dengan keterangan Surah Al-Baqarah 2:269, yang menerangkan hikmah itu diberikan kepada sesiapa yang Dia suka.

Untuk membenarkan hipotesis bahawa hikmah yang duberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu hanya al-quran. golongan anti hadis hendaklah mengemukakan bukti daripada keterangan al-quran mengenaiNya yang membenarkannya.Mengemukakan keterangan bahawa al-quran itu hikmah atau mengandungi hikmah,belum memadai untuk membenarkan hipotesis itu. Kerana keterangan itu hanya membuktikan al-quran sebagai hikmah dan sebahagian daripada hikmah Allah yang mutlak. Ia tidak menunjukkan bahawa al-quran itulah sahaja hikmah yang diberikan kepada Muhammad s.a.w. dan tidak yang lainnya. Sedangkan ayat dalam surah Al-Baqarah 2:151, surah Al-Baqarah 2:129, surah Ali Imran 3:164, surah An-Nisa 4:113 difahami mengikut susunan dan kaedah bahasa arab menunjukkan bahawa Allah mengurniakan hikmah dan mengajar Nabi s.a.w. labih daripada itu yang dengannya ia dapat menerangkan al-quran.